APABILA Fatah dan Hamas baru-baru ini bersetuju menamatkan permusuhan dan bergabung, ia turut mengocakkan fikiran umat Islam di Malaysia. Jika dua kumpulan Islam Palestin yang bermusuhan lama itu boleh berdamai, bagaimana pula dengan kumpulan-kumpulan politik Islam di Malaysia yang berseteru lebih lama?
Suasana politik di Malaysia pada hari ini sangat menggusarkan. Ketika umat Islam berasa semakin digugat, muncul dari kalangan mereka sendiri kelompok yang membela pihak yang dilihat menggugat kedudukan agama mereka.
Suatu masa dulu, kelompok ini begitu gah mahu mendaulatkan pemerintahan Islam. Tiba-tiba suara mereka berubah 360 darjah. Tidak kedengaran lagi tuntutan mendaulatkan pemerintahan Islam, sebaliknya mereka mempertahankan puak yang pernah secara terbuka menentang kuat cita-cita mereka.
Tidak cukup dengan berkawan akrab dengan puak yang dulu menentang mereka, sekarang mereka membela pula segala tindak-tanduk puak ini sekalipun jelas boleh menggugat kedudukan Islam.
Jika anda masih belum jelas, eloklah kita berterus terang. Mereka ini menyokong Bible dalam Bahasa Melayu (al Kitab) diedarkan di seluruh Malaysia dan menyokong penggunaan kalimah Allah dalam Bible.
Berterus terang mengenai perkara ini bukanlah bermakna hamba ingin mempengaruhi para pembaca supaya cenderung kepada satu aliran dan kumpulan politik, tetapi sekadar menyatakan sesuatu yang dirasai benar dan menggusarkan banyak pihak yang bimbang terhadap keutuhan Islam.
Rasulullah pernah bersabda bahawa kebenaran itu pahit, tetapi nyatakanlah sekalipun pahit.
Baginda juga menasihatkan umatnya, apabila melihat sesuatu kemungkaran, banteraslah dengan tangan. Jika tidak mampu dengan tangan, tegurlah dengan mulut. Andainya tidak mampu gunakan tangan dan mulut, memadailah dengan hati. Dan sekadar menolak dengan hati adalah selemah-lemah iman.
Suatu masa dulu, tidak terlintas di hati kita bahawa puak ini akan berubah 360 darjah. Ini kerana mereka tampil dengan imej bahawa merekalah pejuang Islam yang tulen. Mereka juga melaungkan bahawa tiada pemisahan antara agama dan politik. Dan politik mestilah tunduk di bawah agama.
Kini kepentingan politik mereka telah menenggelamkan kepentingan agama. Inilah yang hamba simpulkan sebagai perubahan 360 darjah.
Kita tidak hairan jika mereka ini orang-orang yang jahil tentang agama, tetapi kumpulan inilah yang selama ini mendakwa bahawa mereka sahajalah kumpulan yang memperjuangkan Islam. Tetapi demi memburu kuasa politik untuk memerintah, mereka tiba-tiba berubah haluan dan pendekatan.
Sebaliknya puak lawan yang mereka telah lemparkan dengan pelbagai tuduhan dan gelaran buruk, nyata kini lebih kuat pendirian dan tindakan dalam mempertahankan agama Islam. Puak ini sejak dulu telah menggunakan pendekatan yang berbeza. Mereka tidak menggunakan agama untuk politik, tetapi menggunakan politik untuk agama. Inilah pendekatan yang lebih berhikmah dan lebih berkesan di negara majmuk seperti Malaysia.
Pendekatan yang sederhana oleh puak yang menggunakan politik untuk agama ini tidak ditentang oleh bukan Islam kerana ia dilihat tidak mengancam mereka. Sebab itulah selama lebih 60 tahun sejak merdeka, Islam berdiri kukuh di Malaysia dan toleransi agama tidak menjadi satu isu besar.
Namun senario mulai berubah apabila kumpulan yang kononnya memperjuangkan Islam itu dirasuk oleh nafsu dan kerakusan untuk menggulingkan lawan politik seagama yang sangat mereka benci. Lalu mereka mengadakan pakatan dengan kumpulan bukan Islam yang dulunya lebih keras pendirian terhadap Islam dan kumpulan orang Islam yang samar-samar pendirian agama mereka.
Kini mereka bukan sahaja memusuhi sesama Islam tetapi mencintai pula puak yang dulu memusuhi perjuangan Islam. Puak yang menentang Islam ini tidak pernah pun mengubah pendirian mereka, tetapi kumpulan 'pejuang Islam' ini pula yang berubah pendirian dan menyokong perjuangan pihak yang sepatutnya dimusuhi.
Siapa yang lebih beruntung hasil muafakat sumbang ini? Jawapannya ialah ...kengganan kerajaan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah telah dicabar di mahkamah. Sekatan penyebaran Bible dalam Bahasa Melayu ke Semenanjung telah dibantah keras. Peruntukan kerajaan untuk membina masjid telah dipersoal. Ahli-ahli politik wanita bukan Islam sudah berani berceramah di surau. Ahli-ahli politik bukan Islam sudah berani memetik maksud ayat Quran dalam ceramah politik mereka.
Apabila tampil segolongan umat Islam dari kalangan bukan politik menyuarakan kegelisahan terhadap tindakan-tindakan yang dilihat boleh menggugat kedudukan Islam, mereka ditentang pula oleh kumpulan yang telah berubah 360 darjah itu dengan selaran dan hujah-hujah yang menjengkelkan.
Akhirnya kita boleh bertanya, siapakah musuh sebenar Islam di Malaysia pada hari ini?
Kepada pihak-pihak yang telah menyeru kumpulan-kumpulan orang-orang Islam yang bermusuhan dalam politik supaya berdamai, renungilah maksud firman Allah ini.
Jika ada dua pihak dari kalangan orang-orang yang yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah pihak yang zalim itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh maka damaikanlah antara kedua-dua dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. - 49 (Al Hujurat): 9
Jika mereka ini beriman, tentulah mereka cenderung untuk berdamai dengan kumpulan yang sekadar berbeza aliran politik tetapi seagama dengan mereka. Keenganan sebaliknya amat bertentangan dengan perintah Allah. Jika masih enggan setelah diseru berkali-kali, bolehlah diragui keimanan mereka dan lawanlah mereka. Jika tidak dengan tangan (melalui undi), tentanglah mereka dengan mulut. Atau setidak-tidaknya janganlah hati kita menyokong mereka.
Akhir kata, renungilah juga maksud ayat Quran ini.
Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu, pada hal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan Allah? Pada hal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka engkau sekali-kali tidak akan mendapat jalan untuk (menyelamatkan) mereka. - 4 (An Nisa'a): 88.
__________________________________________________________
Dari petikan di atas, kita dapat melihat bahawa negara kita punya kerajaan semakin merosot. Jika kita seorang pemimpin kita hendaklah berfikiran rasional untuk mengukuhkan kemajuan negara. Kita tidak mahu sejarah berulang semula apabila negara kita yang tercinta dijajah buat kali yang ke - 2 selepas kita memperoleh "kemerdekaan".
COPY FROM : MAULANA ARRIF
( Wan Nur Alia )