HARTA YANG DISEDEKAHKAN BUKAN SUATU KERUGIAN



Amalan bersedekah amat digalakkan oleh Islam justeru, ia mendatangkan manfaat tidak terkira banyaknya kepada tuan punya harta yang bersedekah dan pihak yang menerima sedekah. 

Pihak yang menerima pula tidak harus berasa rendah diri kerana itu memang haknya yang layak diterima seperti ditetapkan oleh Islam. Ibarat kata pepatah; ‘Berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing.’ 

Itulah sepatutnya dilakukan oleh individu dan pihak yang diberikan lebihan rezeki dan nikmat oleh Allah SWT untuk berkongsi dengan golongan yang kurang berada dan berkemampuan lebih-lebih lagi golongan memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, pihak dalam kesusahan dan kesempitan seperti memerlukan biaya perubatan dan pendidikan serta sebagainya. 

Amalan ini bukan saja dapat menyucikan harta daripada bahagian yang ditetapkan dalam nisab dan haul zakat, malah dapat mendekatkan diri orang yang bersedekah dengan lebihan hartanya daripada sifat kedekut, bakhil, tamak haloba, terlalu sayangkan harta, serta merapatkan hubungan persaudaraan Islam sesama masyarakat dan ummah secara umumnya. 

Sedekah yang ikhlas kerana Allah SWT akan terus mengalir manfaatnya secara berterusan dan membawa keberkatan selama hidupnya di dunia.

Allah SWT menegaskan bahawa harta yang disedekahkan bukan suatu kerugian kepada pemiliknya kerana Dia pasti menggantikannya dengan yang lebih baik. Firman-Nya dalam surah Saba’, ayat 39 yang bermaksud: “Dan apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, maka Dia pasti menggantikannya. Dan Dialah sebaik-baik Pemberi Rezeki.” 

Menurut Ibrahim bin Muhammad ad-Dabi’i dalam kitabnya, al-Sadaqat wa Atharuha ’ala al-Fard wa al-Mujtama’ (1988): “Sedekah berasal daripada perkataan al-sidq yang bermaksud jujur dalam perkataan dan perbuatan. 

Justeru, amalan bersedekah mestilah lahir daripada hati yang dipenuhi dengan keimanan dan keyakinan akan janji Allah, serta dilakukan dengan jiwa dan nurani yang tulus dengan niat ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. 

Zakat juga dikategorikan sebagai sedekah yang wajib. Menurut Imam al-Asfahani dalam kitabnya, Mufradat Alfaz al-Qur’an: “Sedekah adalah harta yang dikeluarkan oleh seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Memberikan sedekah hukumnya adalah sunat, manakala membayar zakat hukumnya wajib. Namun begitu, zakat yang ditunaikan kepada golongan yang berhak menerimanya juga dapat dikategorikan sebagai sedekah jika diniatkan dengan betul.”

Dalam surah al-Taubah ayat 80, Allah SWT menjelaskan lapan golongan yang berhak menerima zakat iaitu golongan al-fuqara’ (fakir), al-masakin (miskin), al-’Amilin ’Alaiha (para amil), al-Mua’llafat Qulubuhum (yang baru memeluk Islam), al-Riqab (hamba yang tidak mampu memerdekakan diri), al-Gharimun (golongan berhutang yang tidak mampu membayarnya), Fi Sabilillah (di jalan Allah iaitu segala keperluan masyarakat seperti pembiayaan perubatan, pendidikan dan lain-lain yang memerlukan) dan Ibn al-Sabil (musafir dalam perjalanan lebih-lebih lagi yang dalam kesempitan dan kesusahan).

Alangkah indahnya ajaran Islam yang mewajibkan umatnya menunaikan sedekah yang wajib (zakat) dan sedekah yang sunat. Namun amalan ini mestilah dihindarkan daripada perasaan menunjuk-nunjuk (riak), rasa bangga diri sendiri (ujub), berbangga-bangga (takabur) dan mengungkit-ngungkit kerana ini semua akan menghapuskan pahala yang diperoleh ibarat mencurah air ke daun keladi.


Read more: http://www.resepirahsiaku.com/2011/04/harta-yang-disedekahkan-bukan-suatu.html#ixzz1Y0ibGLuu


_______________________________________


Kesimpulannya, saya, Umi Syuhada bersetuju dengan petikan ini bahawasanya harta yang disedekahkan bukan suatu kerugian malah mendatangkan keuntungan kerana Allah telah menjanjikan orang yang bersedekah ini tidak akan miskin. Hal ini kerana Allah itu Maha Adil.
Jadi, kita sebagai umat Islam mestilah banyak bersedekah untuk mendapatkan banyak pahala daripada Allah SWT tanpa ada rasa takbur dan bongkak.