Vandalisme

Vandalisme ialah perbuatan merosakkan harta benda awam oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Rata-ratanya perbuatan ini dilakukan oleh golongan remaja yang terpengaruh dengan budaya `punk’ dan `rock’ dart Barat.
Vandalisme dilakukan oleh beberapa kategori remaja. Pertama, perbuatan vandalisme ini dilakukan oleh mereka yang hanya ingin mengecapi keseronokan berbuat demikian. Mereka mungkin berbuat demikian sekadar untuk menghabiskan masa lapang. Kedua, golongan remaja yang mengalami konflik jiwa yang hebat. Remaja yang hidup keseorangan merasakan dunia ini tidak bermakna. Kesunyian menyebabkan mereka melakukan vandalisme untuk menarik perhatian orang ramai. Ketiga, golongan yang terdiri daripada mereka yang tidak puas hati dengan keadaan diri dan masyarakat. Keempat, golongan remaja yang dilamun cinta. Vandalisme yang dilakukan oleh golongan ini bertumpu di tamantaman, tepi pantai dan tempat rekreasi. Golongan ini dikuasai dorongan emosi diri.
Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan dan membawa kerosakan yang kekal, perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai. Bagaimana kalau lakaran lucah dan perkataan yang memberahikan dibaca oleh golongan muda? Ini sudah tentu akan menimbulkan imaginasi dan khayalan seks yang boleh mendorong seseorang melakukan perbuatan jenayah seperti rogol, mencabul kehormatan dan melakukan hubungan seks bebas. Selain itu, belanja yang tinggi diperlukan untuk membersihkan tempat yang telah diconteng. Semua usaha pembersihan dan pemulihan ini memerlukan tenaga yang bukannya sedikit.
Vandalisme juga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Sekiranya didapati kedai orang Cina diconteng oleh remaja Melayu atau India, berkemungkinan ia akan menimbulkan konflik dan pergaduhan antara kaum. Ini akan menyukarkan lagi usaha mewujud perpaduan kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, sekali gus mengancam keselamatan dan kestabilan negara.
Perbuatan vandalisme tidak boleh dibiarkan. Sesetengah pihak tidak mempedulikan perbuatan ini kerana menganggapnya sebagai fenomena sementara yang akan terhenti dengan sendiri. Benarkah begitu? Vandalisme dilakukan secara berterusan daripada satu generasi kepada generasi lain. Kalau perbuatan ini didiamkan begitu sahaja, sudah tentu kita menggalakkan perbuatan vandalisme. Oleh itu, penyelesaian dan jalan keluar perlu dicari seperti menyediakan tempat khas untuk para remaja meluahkan isi hati.
Walaupun selama ini perbuatan vandalisme tidak dianggap sebagai jenayah dan tidak ada peruntukan undang-undang untuk mendenda atau menangkap para pelakunya, remaja yang didapati melakukan vandalisme seharusnya dikenakan hukuman kompaun. Kompaun ini dapat memberi pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme, setidak-tidaknya mereka akan berfikir dahulu sebelum berbuat demikian.

_________________________________________________________________________________

Kesimpulannya, masyarakat boleh memainkan peranan penting memberi kefahaman betapa buruknya akhlak mereka yang melakukan vandalisme. Misalnya, ibu bapa sebagai orang yang terdekat dengan remaja patut mendidik anak-anak dengan contoh teladan baik serta mengasihi dan meluangkan masa bersama anak-anak agar tidak timbul fenomena kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Pihak sekolah pula boleh menerapkan kesedaran untuk membentuk remaja berjiwa sihat dan berfikiran matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

(Natasha Aleia)