MENTALITI masyarakat tentang mendapatkan tempat anak-anak di sekolah
rerasrama penuh (SBP) merupakan satu prestij perlu diubah.Setiap kali
keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) diumumkan, serentak itu borang untuk
mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dibuka untuk dijual kepada
orang ramai. Tujuan ibu bapa hanya satu, iaitu untuk mendapatkan tempat
pendidikan yang terbaik untuk masa hadapan anak-anak mereka.Keputusan
Kementerian Pelajaran untuk tidak bercadang menambah kuota di 54 buah
sekolah berasrama penuh amat wajar walaupun bilangan calon yang
mendapat keputusan 5A dalam UPSR sebanyak 48,400 calon. Ini kerana
kecemerlangan pelajar bukan ditentukan di mana mereka bersekolah tetapi
lebih bergantung kepada usaha bersama dan kegigihan pelajar, guru dan
pengetua sesebuah sekolah.
Secara tidak langsung isu ini memberi cabaran kepada pihak
pengurusan dan guru-guru sekolah harian untuk mempertingkatkan
pengurusan sekolah kepada berwawasan dan berkesan
serta mempertingkatkan ‘kemenjadian’ pelajar. Pengurusan yang cekap
dan perancangan yang strategik perlu untuk memastikan kecemerlangan
pelajar sentiasa berterusan dan berada ditahap paling optimum. Guru dan
pengetua sekolah mestilah sama-sama mengatur strategi dan menjadikan
sasaran untuk tersenarai sebagai sekolah kluster atau sekolah bestari
sebagai objektif utama. Jika strategi ini berjaya, tidak mustahil suatu
hari mutu pendidikan sekolah harian setanding dengan sekolah berasrama
penuh.Pelajar cemerlang merupakan tonggak harapan kepimpinan negara di
masa hadapan. Tetapi kecemerlangan bukan diukur dari segi mental
semata-mata tetapi juga dari segi rohani dan peribadi.
Media pernah melaporkan tentang pembuangan 15 orang pelajar Maktab
Rendah Sains Mara (MR***) Negeri Sembilan yang dibuang sekolah dan
diserapkan ke sekolah harian kerana masalah disiplin. Ibu bapa perlu
sedar kecemerlangan seseorang pelajar bukan sahaja terletak pada
kecemerlangan akademik semata-mata. Kecemerlangan ini mesti mempunyai
pakej iaitu, kecemerlangan dari segi fizikal dan spiritual. Rohani yang
tidak cemerlang akan menjurus kepada tingkah laku luar kawal. Justeru,
pelbagai program pembangunan rohani dan kokurikulum telah diwujudkan di
kebanyakan sekolah harian. Objektif penubuhan adalah untuk membentuk
pelajar bersahsiah mulia, menangani gejala sosial pelajar, melatih
pelajar berfikiran rasional dan membimbing pelajar melalui sesi
kaunseling. Program seumpama ini dijalinkan untuk melahirkan pelajar
yang terpimpin, berketerampilan, berdisiplin dan mempunyai jati diri
yang utuh untuk menempuhi dugaan era globalisasi.
Justeru, tidak hairanlah mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran
bersama-sama dengan Kementerian Pengajian Tinggi telah melaksanakan
antara syarat seseorang calon untuk mendapat tempat ke IPTA mestilah
mencapai 10 peratus penglibatan kokurikulum. Ini bertujuan melahirkan
bakal kepimpinan negara yang bukan sahaja berdaya saing, kreatif dan
inovatif malah teguh menghadapi setiap cabaran. Penglibatan ibu bapa
perlu bagi memastikan pencapaian pelajar dan pengurusan berada di
peringkat optimum. Tidak wajar bagi sesetengah ibu bapa yang
mengharapkan kecemerlangan anak-anak bergantung kepada pihak sekolah
semata-mata tanpa terlibat sama dalam usaha melonjakkan kecemerlangan
sekolah dalam Sistem Pendidikan Malaysia. Senario setiap kali mesyuarat
PIBG di kebanyakan sekolah harian diadakan, pastinya mencatat kehadiran
yang kurang memuaskan.
Rata-rata memberi alasan bahawa sibuk dan mempunyai komitmen tugas
yang lebih penting daripada menghadiri mesyuarat untuk kecemerlangan
anak-anak mereka. Tidak kurang juga ada ibu bapa berpendapat mesyuarat
ini hanya untuk melengkapkan kalendar tahunan sekolah semata-mata
kerana setiap kali mesyuarat PIBG berakhir, tiada perubahan yang
dilaksanakan seperti yang diputuskan. Oleh itu, mulai saat ini PIBG dan
pihak pengurusan sekolah harus menjadikan mesyuarat PIBG dan
pelaksanaannya merupakan agenda penting untuk masa depan pelajar
khususnya dan sekolah amnya.
__________________________________________________________
Dari petikan diatas, ibu bapa mestilah memberikan peranan terhadap pelajaran anak - anak. Ibu bapa juga hendaklah memberi sepenuh perhatian kepada anak - anak terutama semasa anak - anak di rumah kerana mereka belajar dari rumah bukan dari sekolah semata - mata.
COPY FROM : SITI NURSHAHIDAH SAH ALLAM
( Wan Nur Alia )