ABU BAKAR PENANDA ARAS IMAN UMAT ISLAM

PADA 27 Rejab bersamaan 29 Jun ini, umat Islam akan menyambut ulang tahun peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW yang dikatakan berlaku selepas kenabian baginda di Mekah.

     Pelbagai pendapat diutarakan mengenai tahun berlakunya peristiwa tersebut kerana tiada catatan yang sahih, namun itu tidaklah penting. Yang tidak dipertikai ialah 27 Rejab sebagai tarikh peristiwa. Yang lebih penting ialah pengajaran atau iktibarnya.

     Bagi kebanyakan orang Islam, kisah Israk dan Mikraj ini telah didengari sejak kecil dari mulut ustaz-ustaz di majlis-majlis sambutan. Jika terlupa, dalam Internet mudah dicari sorotan ringkas. Jika mahu yang lebih terperinci, ada buku-buku di pasaran yang menceritakan secara terperinci perjalanan Rasulullah pada waktu malam dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Al Aqsa di Baitulmaqdis.

     Bagaimanapun bukan perjalanan dengan menunggang buraq (haiwan seakan kuda putih) bersama Malaikat Jibril dari Mekah ke Baitulmaqdis (Israk) yang tidak dilupai oleh pendengar ceramah, tetapi perjalanan seterusnya ke langit ketujuh amat mengagumkan.

     Bayangkan betapa teknologi angkasa lepas yang terhebat pada masa kini hanya boleh menerbangkan manusia ke bulan, tetapi Rasulullah telah melakukan pengembaraan angkasa lepas sehingga ke langit penghujung tanpa memakai pakaian khas yang angkasawan gunakan hari ini.

     Saintis hari ini menganggarkan perjalanan ke bintang-bintang tinggi memakan masa beribu-ribu tahun. Maka tidak masuk akal tanpa iman untuk mempercayai Nabi Muhammad boleh melakukan perjalanan hingga ke langit ketujuh dalam satu malam. Tetapi di sisi Allah SWT tiada yang mustahil. Apa jua kehendak Allah pasti berlaku.

     Peristiwa tersebut telah menguji keimanan umat Islam yang bilangannya masih kecil ketika itu. Lalu sebilangan mereka mendatangi Saidina Abu Bakar yang memberikan jawapan bahawa apa jua yang Rasulullah katakan adalah benar. Sejak itulah Abu Bakar diberi gelaran As Siddiq (Pembenar).

pengukuh

      Israk dan Mikraj dikurniakan kepada Nabi Muhammad sebagai pengukuh iman baginda sebagaimana nabi-nabi lain yang Allah juga tunjukkan tanda-tanda keagungan-Nya. Misalnya, Nabi Ibrahim yang digelar Penghulu Iman telah dibakar oleh Raja Namrud, tetapi sedikit pun tidak terjejas kerana Allah memerintahkan api menjadi sejuk. Nabi Musa membelah laut dengan tongkatnya ketika melarikan diri daripada Firaun dan bala tenteranya. Nabi Nuh diselamatkan daripada banjir besar dengan bahtera kecil yang dibina atas perintah Allah.

    Firman Allah bermaksud: ‘‘Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada waktu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. – al-Israa 17: 1
Perjalanan Mikraj pula disentuh dalam Surah an-Najm (53), ayat 13-18.

     Pada hari ini, kita umat Islam tidak meragui sedikit pun kisah Israk dan Mikraj kerana agama ini sudah berkembang kukuh selama lebih 1,400 tahun. Jika ragu-ragu, itu tandanya tidak beriman. Bayangkan umat Islam yang awal apabila berhadapan dengan kaum musyrikin Mekah yang memperlekeh kisah Israk dan Mikraj dengan ketawa penuh ejekan.
 
     Di sinilah letaknya kehebatan Saidina Abu Bakar, antara orang yang awal beriman dan memeluk agama Islam. Beliau tidak bertaraf nabi dan tidak pula ditunjukkan tanda-tanda luar biasa seperti para nabi, tetapi imannya menandingi para nabi.

     Semasa mula bersahabat dengan Nabi Muhammad pada usia 40 tahun (dua tahun lebih muda daripada Rasulullah), Saidina Abu Bakar adalah salah seorang ahli perniagaan yang terkaya di Mekah. Ada riwayat hidup beliau mencatatkan modal perniagaannya sahaja berjumlah 400,000 dirham, satu angka yang sangat besar jika dinisbahkan dengan nilai mata wang pada zaman sekarang.

     Bagaimanapun segala kekayaannya telah habis dibelanjakan untuk membantu Rasulullah mengembangkan Islam. Beliau bukan sahaja membelanjakan segala hartanya, tetapi turut meninggalkan segala urusan perniagaan dan peribadinya untuk berdakwah bersama Rasulullah.

kecuali

      Pernah pada suatu ketika apabila para sahabat menyerahkan harta dan wang untuk tabung jihad, masing-masing ditanya oleh Rasulullah apakah mereka sudah meninggalkan sebahagian untuk diri dan keluarga. Kesemuanya menjawab ‘‘ya’’ kecuali Saidina Abu Bakar.
Apabila ditanya, Saidina Abu Bakar menjawab: ‘‘Yang tinggal untuk diri saya dan keluarga, hanyalah Allah dan Rasulullah.’’

     Begitu hebatnya iman Saidina Abu Bakar. Dia menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah dan Rasulullah. Fahamlah kita mengapa Rasulullah telah mengumumkan bahawa Saidina Abu Bakar dijamin masuk syurga. Bandingkan pengorbanan beliau dan amal kita.

     Kebanyakan kita, termasuk yang berserban dan berkopiah, berpura-pura sahaja untuk mencontohi Rasulullah dan para sahabat. Buat sedikit amal, sudah berasa layak untuk masuk syurga. Dipanggil memberikan ceramah, hati sentiasa tertanya-tanya berapa banyak imbuhan yang masjid akan berikan. Bersolat dahi sampai hitam, tetapi hati tetap sama hitamnya dengan dahi.

     Kepada mereka yang bergelar pemimpin atau bercita-cita mahu jadi pemimpin, renungilah pula ucapan Saidina Abu Bakar semasa menerima pelantikan jawatan khalifah Islam yang pertama.
‘‘Saudara-saudara sekelian, saya mendapat tugas untuk memimpin Islam dan umatnya, padahal saya bukanlah orang yang terlebih baik di antara kamu. Apabila saya berbuat baik, maka bantulah perbuatan saya itu. Tetapi apabila saya berbuat jahat, maka luruskan kejahatan itu.

     ‘‘Benar adalah amanat, dusta adalah khianat. Orang-orang yang lemah di antara kamu saya pandang kuat, sehinggalah saya membela dan memenuhi hak-hak mereka. Orang-orang yang kuat di antara kamu saya pandang lemah, sehinggalah kebenaran harus ditegakkan.
‘‘Tiada satu bangsa yang meninggalkan perjuangan di jalan Allah, melainkan mereka akan hina pada akhirnya. Tidak ada kejahatan yang berleluasa dalam masyarakat, melainkan pasti masyarakat tersebut berada dalam bahaya.
‘‘Saya minta supaya kamu semua supaya mengikuti saya, selama saya mengikuti perintah Allah dan Rasulullah. Tetapi apabila saya ingkar kepada kedua-duanya (perintah Allah dan Rasulullah), maka kamu boleh meninggalkan saya.’’

     Kisah hidup dan ikrar Saidina Abu Bakar itu layak jadi contoh sepanjang zaman, termasuk di Malaysia hari ini yang dipimpin dan mahu dipimpin oleh orang-orang yang mengaku beragama Islam. Beliau adalah penanda aras keimanan, ketakwaan dan kepimpinan bagi umat Islam selain Rasulullah.
__________________________________________________

Dari petikan di atas, kita sebagai umat Islam patut mencontohi tindakan Abu Bakar kerana Abu Bakar seorang pemimpin yang berwibawa.

COPY FROM : MAULANA ARRIF

( Wan Nur Alia )