1. Binalah tenaga anda sebelum menghadapi hari yang baru.
Untuk menghadapi tekanan, kita memerlukan jiwa yang kuat. Tanpa kekuatan jiwa , kita dengan mudah akan tewas apabila "dihenyak" oleh tekanan. Oleh itu adalah sangat penting untuk membina kekuatan diri sebelum menghadapi hari yang baru.
Setiap pagi, janganlah tergesa-gesa untuk memulakan kerja anda. Ciptalah satu rutin setiap pagi untuk diri anda. Untuk saya, saya mengamalkan Al-Manzil, atau kadangkala Al-Mathurat. Sekiranya hati terasa agak tertekan dengan cabaran-cabaran yang agak hebat, saya akan menambah pula ayat-ayat Munjiyat di dalam rutin pagi saya.
Tidak kira apapun pilihan anda, rutin pagi akan memberikan masa untuk anda menenangkan diri sebelum berhadapan dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Bukan itu sahaja, zikrullah sememangnya mempunyai keberkatan yang hebat untuk menarik pertolongan dari Allah.
2. Bersedekahlah di dalam perjalanan ke tempat kerja.
Untuk mengawal emosi, tidak ada satu senjata yang lebih ampuh dari kelapangan dada. Saya tidak tahu tentang orang lain, tetapi dari pengalaman saya, bersedekah adalah satu aktiviti yang paling kuat kesannya untuk melapangkan dada.
"Rasulullah menggambarkan orang yang kikir dan orang yang dermawan itu dengan dua orang yang masing-masing memiliki jubah. Orang yang dermawan terus-menerus memberi dan menginfakkan hartanya, sehingga jubah dan baju besinya menjadi terasa longgar dan lapang hingga akhir hayatnya. Sementara itu, orang yang kikir terlalu kuat memegang hartanya dan tidak mahu menyedekahkannya, sehingga pakaiannya terasa semakin menyempit dan menghimpit, yang pada akhirnya akan menyempitkan jiwanya."
Untuk bersedekah di dalam perjalan ke tempat kerja, tidaklah memerlukan wang ringgit sebenarnya. Cukup dengan memberi laluan kepada kenderaan lain sepanjang perjalanan anda. Dan sekiranya anda berhenti di stesen minyak, atau kedai-kedai lain untuk membeli keperluan di dalam perjalan ke tempat kerja, senyumlah kepada pekerja-pekerja kedai yang anda temui, dan ucapkanlah terima kasih. Anda akan mendapati yang anda adalah lebih ceria apabila tiba di tempat kerja.
3. Berhentilah sebelum anda "meletup."
Walau bagaimana besarpun tekanan yang melanda, jarang sungguh kita tiba-tiba terus "meletup." Sebenarnya, keresahan dirasai sedikit demi sedikit, dan apabila ia telah terlalu kuat kita pun hilang kawalan di dalam mengawal emosi kita. Oleh itu kita perlu berhenti sebelum tekanan yang dirasai terlalu hebat.
Di kilang tempat saya bekerja terdapat sebuah "receiver tank" yang fungsinya untuk mengumpul "compressed air" dari generator. Tekanan maksima yang boleh diterima oleh "receiver tank" tersebut adalah sebanyak 20 bar. Supaya tekanan angin yang masuk tidak terlebih dari had sehingga membahayakan, terdapat sebuah "safety valve" pada "receiver tank" tersebut. Apabila tekanan melebihi had selamat, "safety valve" tersebut akan melepaskan compressed air untuk menurunkan tekanan.
Di dalam hidup sehari-hari kita, sebenarnya Allah telah mengurniakan sebuah "safety valve" untuk kita. Ya itulah dia solat 5 waktu.
Yang penting, solat hendaklah dilakukan dengan penuh kenikmatan walaupun pendek. Mungkin baik untuk membaca topik "panduan solat khusyuk dan istiqamah." Dan satu perkara lagi, sebolehnya lakukanlah solat 5 waktu seawal waktu yang boleh. Allah tidak menetapkan waktu setiap solat, melainkan di dalamnya terdapat hikmah yang sangat halus. Jika kita menangguhkan solat ke hujung waktu, kita mungkin sudahpun "termeletup" sebelum sempat melakukannya.
Jika anda merasa tertekan sebelum waktu solat yang berikutnya berhentilah sebentar. Jangan paksa diri anda untuk berfikir di dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Pasanglah MP3 player anda, dan dengarkanlah alunan ayat-ayat Quran. Atau lihatlah pemandangan indah-indah. Yang penting, berhentilah dan baiki keadaan emosi anda sebelum mula bekerja semula.
4. Segeralah bangkit keluar dari kesedihan.
Walaupun begitu, sesekali kita tentu akan tewas juga dengan tekanan. Yang penting pada ketika itu adalah untuk segera keluar dari kesedihan dan keresahan. Ini adalah supaya kita tidak pula menjadi virus yang akan menyebarkan penyakit sedih kepada orang lain. Cukuplah kesedihan sampai ke diri kita. Janganlah biarkan ia merebak kepada orang lain pula. Saya ada menghuraikan perkara ini dengan sedikit mendalam di dalam topik "bagaimana untuk kembali positif selepas dikritik."
5. Bagaimana untuk berfikir dengan rasional di dalam tekanan.
Apabila berada di dalam keadaan tekanan, biasanya keputusan yang dibuat banyak dipengaruhi oleh emosi daripada fikiran yang rasional. Untuk diri saya, adalah sangat mustahil untuk membuat keputusan dengan berfikir sahaja tanpa sekeping kertas dan pensil.
Apabila anda perlu membuat keputusan di dalam keadaan yang sibuk, atau penuh dengan tekanan, ambillah sekeping kertas dan sebatang pensil. Bahagikan kertas tersebut kepada 4 bahagian. Tuliskan pada setiap bahagian seperti berikut:
- Bahagian 1 - Fakta masalah
- Bahagian 2 - Alternatif-alternatif
- Bahagian 3 - Impak positif
- Bahagian 4 - Impak negatif
Di dalam bahagian 2 pula, tulislah segala alternatif-alternatif yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan persoalan tersebut.
Di dalam peringkat ini, sebaiknya panggillah rakan-rakan lain untuk berfikir bersama-sama anda. Lebih idea adalah lebih baik, kerana lebih banyak kemungkinan yang dapat difikirkan.
Kemudian, senaraikan segala impak positif dan impak negatif yang mungkin berlaku untuk setiap alternatif yang disenaraikan.
Dan akhir sekali, pilihlah alternatif terbaik yang ada di dalam senarai tersebut.
Yang penting di sini adalah untuk menganalisa setiap kemungkinan dengan cara menuliskannya seperti di atas. Elakan dari cuma membayangkan alternatif-alternatif yang ada di dalam fikiran. Ini adalah kerana tanpa menulis, adalah sukar untuk kita melihat semua alternatif yang ada. Tanpa dapat melihat keseluruhan situasi dengan sempurna, kita mudah merasa panik dan besar kemungkinan keputusan yang dibuat akan dipengaruhi oleh emosi.
Akhir sekali, anda juga tentu mempunyai pelbagai teknik yang telah anda gunakan untuk mengawal emosi di dalam tekanan. Tinggalkan komen dan kongsikanlah pengalaman anda, semoga bermanfaat kepada kita semua.
natt zamree