BERTUAHNYA PEMILIK IMAN 'HAKKUL IMAN '

DALAM keadaan yang kurang mententeramkan jiwa di negara kita sekarang, marilah kita merenung diri kita sendiri setelah puas melihat gelagat mereka yang diruntun dan dipukau oleh nafsu serta hasutan syaitan. Pelbagai cakap dihamburkan untuk mempertahankan tindakan puak masing-masing demi merebut kuasa dalam kehidupan yang tidak kekal ini. Kebenaran dan kepalsuan sudah bercampur-aduk.
     Berwaspada jugalah terhadap diri sendiri, takut kalau-kalau suasana persekitaran yang tidak sihat turut menghakiskan iman dalam diri kita. Dalam keasyikan melihat gelagat orang-orang lain, kadangkala kita boleh terlupa kepada diri sendiri.
     Periksa diri kalau-kalau ada perubahan. Adakah solat lima waktu masih khusyuk dan seronok seperti dulu? Berapa kerapkah kita mengingati Allah SWT sejak bangun tidur hingga ke saat memejamkan mata pada waktu malam? Adakah hati kita berasa sesuatu apabila mengingati Allah, atau seperti biasa sahaja? Adakah persaaan kita biasa sahaja apabila mendengar orang lain membaca Quran, atau kita sendiri sudah hilang keinginan membaca Quran? Masih selalukah kita bermunajat dan mengadu segala masalah kepada Allah?
     Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (berserah diri). - Al Anfaal 8: 2
Jika jawapan kepada soalan-soalan ini lebih banyak ‘negatif’ atau kesemuanya ‘negatif’, maka itulah tanda-tanda bahawa tahap iman kita sudah merosot atau barangkali sudah hampir ke paras sifar. Hanya orang tidak beriman sahaja yang tidak berasa bimbang terhadap tanda-tanda amaran ini.
Jika begitulah keadaannya, maka kita perlu risau. Sekalipun kita sering bersolat jemaah di masjid. Atau sentiasa memakai kopiah atau serban sebagai tanda orang Islam. Ingatlah bahawa Allah tidak memandang paras rupa manusia, tetapi pada hati kita. Jangan cuba berbohong dengan Allah kerana Dia lebih mengetahui daripada diri kita sendiri tentang kandungan hati kita.
     Sebenarnya tahap iman seseorang tidak akan diketahui oleh orang lain, kecuali Allah dan diri kita sendiri. Ingatlah bahawa orang munafik juga menunaikan solat dan menampakkan dirinya Islam kepada orang lain. Manusia boleh berlakon dan Allah mengizinkannya sebagai ujian keimanan.
Dalam bercakap soal keimanan ini, hamba teringat kepada huraian seorang sahabat tentang tahap iman pada diri seseorang. Sahabat ini menggunakan analogi yang sangat mudah untuk difahami. Katanya, memahami tahap iman pada diri kita adalah ibarat mengetahui tentang kemalangan jalan raya.
Kebanyakan orang mengetahui tentang sesuatu kejadian kemalangan melalui cerita orang lain, sama ada dari mulut atau membacanya dalam akhbar atau melihat laporan berita TV. Begitu jugalah tentang iman. Kita beriman kerana mendengar tentang iman daripada ustaz-ustaz yang mengajar di kelas agama semasa bersekolah dan kemudian daripada ceramah-ceramah di masjid. Kita juga mengetahui tentang iman melalui media cetak dan elektronik.
     Menurut sahabat hamba itu, samakah pengetahuan orang yang mengetahui tentang kemalangan melalui cara di atas dengan orang-orang yang melihat sendiri kejadian yang berlaku? Mungkin ketika itu mereka berada di tepi jalan di tempat kejadian. Tentulah tidak sama kesahihan antara orang yang mendengar cerita daripada orang lain dengan orang yang melihat sendiri kejadian.
     Dan bandingkan pula ketepatan cerita antara orang yang melihat kejadian dengan orang yang terlibat sendiri dengan kemalangan. Andaikanlah kejadian itu melibatkan dua kenderaan. Tentulah cerita pemandu yang selamat dalam kemalangan itu lebih tepat daripada gambaran orang yang melihat kejadian.
Begitulah juga iman. Tentulah tidak sama tahap iman orang yang mendengar cerita daripada orang lain dengan orang yang melihat sendiri tanda-tanda yang Allah zahirkan kepadanya untuk memperkukuh imannya.
Dan tentulah lebih mantap iman seorang yang melalui sendiri pengalaman-pengalaman yang menjadi bukti tentang kekuasaan dan kebesaran Allah, sebagaimana pemandu kenderaan yang mengalami kemalangan dan selamat.
     Sahabat hamba itu menakrifkan iman yang diperoleh secara mendengar cerita orang lain itu sebagai ‘yakin.’ Kemudian jika dia terus mencari dengan hati yang ikhlas dan memohon kepada Allah supaya sentiasa ditingkatkan imannya, maka mudah-mudahan Allah akan memasukkannya ke tahap kedua yang dipanggil ‘ainol yakin’ atau keyakinan yang lebih kuat berdasarkan mata hati.
Ikhlas
     Jika dia terus ikhlas dan meneruskan pengembaraan rohaniahnya dengan penuh tawaduk (rendah diri), mudah-mudahan Allah akan menemukannya dengan ‘hakkul yakin’ iaitu keyakinan yang hakikat. Alangkah bertuahnya mereka yang sampai ke tahap ‘hakkul yakin’ kerana inilah kemuncak keimanan yang paling teguh.
Sudah tentulah ‘hakkul yakin’ dimiliki oleh para nabi dan para wali. Mereka inilah yang berada di ‘jalan lurus’ yang kita mohon sekurang-kurangnya 17 kali sehari melalui bacaan surah Al-Fatihah yang menjadi rukun solat.
Tentulah jalan yang lurus ini lebih sukar untuk dicapai kerana ia memerlukan kesabaran dan penyerahan diri kepada Allah yang sangat total. Namun ia tetap boleh dicapai oleh sesiapa yang berkehendak dan berusaha. Dalam surah Wa‘aqiah, Allah berfirman bahawa golongan jalan lurus lebih banyak di kalangan umat dahulu dan sedikit sekali di kalangan umat sekarang.
Dan kamu menjadi tiga golongan (selepas hari kiamat). Iaitu golongan kanan. Alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri. Alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang beriman paling dahulu ( jalan lurus), mereka itulah yang didekatkan kepada Allah. Berada dalam jannah (syurga) kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu (umat-umat sebelum Nabi Muhammad SAW), dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian (umat Nabi Muhammad). - Wa‘aqiah 56: 7 hingga 14
Yang lebih ramai ialah golongan kanan yang akan dihisab pahala dan dosa mereka di akhirat kelak. Mungkin ada yang akan terus masuk ke syurga, atau mungkin dimasukkan ke neraka terlebih dulu sebelum dimasukkan ke syurga.
Yang paling celaka ialah golongan kiri, iaitu orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Mereka akan terus dimasukkan ke neraka dan kekal selama-lamanya. Antara dua golongan kiri ini, orang munafik akan mendapat siksaan paling dahsyat.
Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka. - An Nisaa’ 4: 145
Mudah-mudahan kita ditunjukkan ke jalan yang lurus di atas rahmat-Nya. Carilah jalan ini dengan penuh kesabaran dan penyerahan diri kepada Allah dengan iman yang ada. Pencari akan menghadapi pelbagai ujian, bersabarlah. Dan tingkatkan iman dan ketakwaan.
Seterusnya beramal soleh dengan melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan kebajikan kepada sekelian makhluknya. Janganlah melakukan kerosakan sama ada dengan perbuatan atau lisan. Bersihkan diri daripada segala penyakit hati. Inilah sebenarnya matlamat hidup setiap manusia yang beriman selagi masih bernyawa di alam yang tidak kekal ini.
____________________________________________________

Dari petikan di atas, kita hendaklah mempertahankan umat Islam seperti mana orang - orang kafir yang menjaga puak - puaknya. Kita janganlah mengikut sangat hawa nafsu dan juga hasutan syaitan.

COPY FROM : MAULANA ARRIF
( Wan Nur Alia )