Anda mewakili kelas dalam pertandingan perbahasan antara kelas-kelas tingkatan tiga yang diadakan sempena sambutan Hari Guru. Tajuk perbahasan yang ditetapkan ialah ‘Komputer Merupakan Gaya Hidup Masa Kini’. Sebagai pencadang,
tulis teks perbahasan anda itu selengkapnya
Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pihak pembangkang yang saya hormati, dan hadirin hadirat sekalian. Selaku pihak pencadang yang menegakkan tajuk perbahasan kita pada hari ini, iaitu “Komputer Gaya Hidup Masa Kini”, saya sebagai pencadang pertama akan menjelaskan definisi komputer yang menjadi topik utama kita pada hari ini. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, komputer bermaksud sejenis alat elektronik yang menyimpan maklumat pada cakera atau pita bermagnet, menganalisisnya dan mengeluarkan maklumat selanjut apabila diperlukan.
Hadirin yang dihormati,
Di zaman yang moden dan semakin maju ini, komputer merupakan satu keperluan yang penting dalam kehidupan seharian. Sebelum komputer digunakan secara meluas, kegunaannya hanya untuk mengira dan menyimpan data dalam jumlah yang besar. Kini, dengan kepelbagaian ‘software’ dan aplikasi yang bukan sahaja akan memudahkan pengguna dalam pekerjaan tetapi menjadi salah satu daya tarikan kepada pengguna untuk berebut membelinya di pasaran.
Kemahiran menggunakan komputer juga merupakan salah satu syarat wajib apabila memohon sesuatu pekerjaan. Hal ini terjadi kerana hampir semua sektor pekerjaan memerlukan kemahiran menggunakan komputer seperti bidang perniagaan, pentadbiran dan termasuklah bidang kedoktoran. Bukan sahaja pekerja sahaja yang memerlukan kemahiran menggunakan komputer, malah para pelajar juga memerlukan kemahiran menggunakan komputer kerana kita sebagai pelajar menggunakan komputer semasa menjalankan kerja kursus.
Selain itu, komputer juga merupakan alat berkomunikasi dan bersosial. Pada masa kini, dengan wujudnya laman web sosial seperti facebook, twitter dan myspace menunjukkan bahawa komputer merupakan gaya hidup masa kini. Ramai orang sanggup membeli komputer dan melanggani internet khas hanya untuk terlibat dalam kehidupan sosial secara maya. Lebih-lebih lagi laman web sosial tersebut tidak mengenakan sebarang bayaran.
Komputer juga sesuai dijadikan ruangan untuk mengembangkan bakat dan melakukan hobi. Sebagai contoh, jika kita mempunyai bakat dalam menghasilkan video dan gambar yang akan memberikan impak yang menarik, kita boleh menghantar hasil karya tersebut kepada syarikat-syarikat yang sedang mencari bakat dalam bidang tersebut dengan cara yang pantas iaitu melalui kaedah penghantaran ‘e-mail’ atau kaedah ‘upload’ pada laman web seperti ‘Youtube’ dan setaraf dengannya. Kita juga dapat melakukan hobi kita seperti mendengar muzik, menonton drama mahupun bermain permainan secara langsung. Kita hanya perlu memuat turun fail yang berkenaan dan terus dapat memainkannya dengan komputer. KIta juga boleh membaca buku atau surat khabar di dalam komputer tanpa mengeluarkan sebarang wang. Hal ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi dapat juga mengurangkan bilangan pokok yang ditebang semata-mata hanya untuk menghasilkan kertas yang akhirnya akan dibuang juga.
Sidang hadirin sekalian,
Sebelum saya mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada rakan-rakan saya untuk membentangkan hujah-hujah yang lebih bernas, saya sekali lagi menegaskan bahawa komputer merupakan gaya hidup masa kini. Dengan adanya komputer, masyarakat akan menjalani kehidupan yang lebih mudah dan masyarakat juga akan menjadi celik di dalam bidang teknologi maklumat. Sekian, terima kasih.
diambil daripada : http://cikgu-rozali.blogspot.com
(UMI SYUHADA)