Sebagai negara yang maju dan membangun, Malaysia sebenarnya telah berjaya mengeluarkan pelbagai produk serta barangan sendiri atas hasil keringat usahawan-usahawan Malaysia. Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia membuka mata tentang barangan buatan tempatan yang ada di Malaysia, yang kualitinya setanding dengan barang luar negara, malah kemungkinan besar lagi baik daripada produk luar negara. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, kita perlu membuang sikap prejudis yang ada dalam pemikiran untuk memandang rendah terhadap barangan buatan tempatan, dan sebaliknya membina semangat “Malaysia Maju” dalam semua aspek termasuk soal kualiti dan standard barangan sendiri.
Produk Malaysia telah miniti dari bibir ke bibir tidak kira rakyat Malaysia atau luar negara. Sudah banyak produk Malaysia yang telah dihasilkan. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.Barangan elektronik seperti kipas, penghawa dingin dan televisyen juga telah banyak membanjiri pasaran luar negara.Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian.
Terdapat pelbagai cara untuk menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia. Strategi yang utama ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri, untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah rakyat masih mengagungkan barangan luar negara, selagi itulah produk di negara kita dibarat ‘katak bawah tempurung’. Apabila kita mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada kebanyakan pihak. Pertama, menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing. Kedua, akan mengelak aliran keluar wang negara ini.
Pengguna tidak boleh disalahkan juga, kerana mereka tidak mendapat maklumat yang lebih mendalam untuk membezakan produk Malaysia dan produk import. Berikutan itu, Fomca dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai bahan itu boleh diedarkan melalui media massa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (Fama) dan syarikat-syarikat yang berkenaan. Pengguna perlulah diberikan maklumat mengenai barang buatan tempatan bagi membantu usaha kerajaan untuk mengelakkan kejatuhan ringgit Malaysia.
Selain itu, mengadakan Kempen Beli Barangan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan barangan buatan tempatan kepada seluruh rakyat bagi membantu negara dalam sektor ekonomi. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan mempromosikan semua jenis produk buatan tempatan. Kempen ini haruslah diperluaskan keseluruh negara, terutamanya negara yang maju. Justeru, semua agensi, sektor swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing.
Pihak kerajaan dan agensi swasta perlu memberi keutamaan yang lebih kepada barangan buatan Malaysia seperti produk berteknologi tinggi hasil tangan pencipta tempatan dan terus membuang rasa sangsi terhadap produk tersebut. Rakyat harus memberi peluang bagi pencipta tempatan ini, dengan membeli barangan tersebut dan sekaligus akan menaikkan barangan buatan tempatan tersebut.Institusi kerajaan dan swasta juga haruslah memberi peluang kepada barangan pencipta tempatan untuk berada di pasaran bagi membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju, lebih berkualiti dan menaikkan nama produk Malaysia di persada dunia.
Tuntasnya, persepsi rakyat dan pemimpin berlu diubah dari segi mentaliti. Tidak perlulah kita sebagai rakyat Malaysia untuk mendewa-dewakan barangan import, sedangkan sudah terang lagi bersuluh, di Malaysia sudah ada barangan tersebut. Amatlah diharapkan supaya kempen belilah barangan buatan Malaysia ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen. Jikalau bukan kita rakyat Malaysia untuk menjulangkan produk buatan tempatan, adakah kita akan maju dan membangun? Selain itu, siapa lagi yang akan menjulangkan produk buatan tempatan ini?
diambil daripada : http://cikgu-rozali.blogspot.com/
(UMI SYUHADA)