BAHAYA BERHUTANG


KEADAAN umat Islam semakin memilukan apabila aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini. Ia mungkin tidak pelik bagi yang tidak berkemampuan, tetapi menjadi kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.

Maka lahirlah ramai individu yang mampu membuat pembayaran secara tunai tetapi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah, iaitu jika membayar secara tunai mereka akan rugi.

Ini satu fenomena kurang sihat, tapi dianggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat mengenai bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramai peminjam enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan syarikat mereka hingga ada yang lebih rela diisytiharkan muflis asalkan tidak perlu membayar hutang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Minggu ini, sama-sama kita pelajari pandangan Islam dalam hal hutang. Nabi Muhammad SAW bersabda :

“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim)

Lebih buruk lagi, ada individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Rasulullah :

“Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang :

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar)

Ini jelas aktiviti berhutang kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh.

Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Ia seperti berikut :

Kad kredit

Jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain isu riba yang hampir dengan kad kredit, ia menggalakkan hutang secara berlebihan. Malah, jika seseorang ingin menggunakannya, dinasihatkan supaya digunakan untuk memudahkan urusan pada saat yang benar-benar terdesak. Adalah lebih baik menggunakan ‘charge card’ atau ‘debit card’ saja. Jauhkan diri daripada ketagihan penggunaan kad kredit.

Pinjaman peribadi

Ini satu lagi produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Perlu disedari, seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional diharamkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma hari ini, ada beberapa bank Islam dan perbankan Islam menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam.

Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep ‘bai inah’ (jual dan beli semula antara dua pihak sama). Konsep ini sangat kontroversi dan ditolak kebanyakan ulama Timur Tengah, namun ia diterima ulama Malaysia dan Brunei.

Apapun, kebiasaannya kadar dikenakan tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang sangat mendesak perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

Perumahan dan kereta

Dua item ini mungkin keperluan asas bagi kebanyakan individu. Bagi saya, seelok-eloknya hutang peribadi kita dihadkan kepada dua jenis ini saja. Itupun mesti menilai kemampuan kewangan dengan sebaik-baiknya supaya tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional disepakati haram oleh seluruh ulama dunia.

Umrah dan haji sunat (kali kedua)

Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan daripada segi fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanya sekali. Justeru, umat Islam perlu memahami keutamaan atau ‘awlawiyyat’ di dalam pengendalian wang peribadi.

Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukkan untuk ke umrah dan haji kali kedua lebih baik dan besar pahalanya jika disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi.

Malangnya, ketidakfahaman umat Islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.
__________________________________________
 
COPY FROM : BLOG USTAZ NOR AMIN
( Wan Alia )