Kelebihan tabiat suka membaca

Membaca membawa banyak faedah kepada kita. Tulis sebuah karangan tentang kelebihan tabiat suka membaca. 


Dewasa ini minat membaca di kalangan rakyat Malaysia semakin berkurang oleh sebab arus pemodenan Negara. Pelbagai faedah yang kita peroleh jika kita membaca. Namun begitu, terdapat sesetengah individu yang menganggap membaca itu tidak penting. Terdapat pelbagai kelebihan tabiat suka membaca yang harus kita ketahui.

Antaranya ialah dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Hal ini disebabkan dengan membaca, kita dapat peroleh perkataan-perkataan baru yang dapat kita gunakan semasa membuat karangan. Hal ini juga membuatkan karangan kita kelihatan lebih menarik untuk di baca.


Kelebihan yang kedua ialah dapat meningkatkan memori kita. Jika kita tidak menggunakan memori, lama-lama memori kita akan menjadi lemah. Permainan seperti teka silangkata akan mengurangkan risiko kita untuk nyanyuk di hari tua. Walaupun membaca bukan sejenis permainan, dengan membaca, kita dapat membantu meregangkan otot-otot memori dengan menggunakan cara yang sama seperti kita bermain permainan yang menggunakan memori. Ini kerana membaca memerlukan ingatan lebih lanjut tentang apa yang kita baca itu. Secara tak langsung akan meningkatkan kekuatan memori kita.


Kelebihan yang ketiga ialah melatih diri menjadi seorang yang berdisiplin. Ini kerana apabila kita selalu membaca, kita telah membuatkan masa membaca sesuatu yang kita tahu dan kita mesti lakukan pada masa-masa tertentu. Tapi ada siapa-siapa yang membuat jadual membaca dalam sehari? Sangat sedikit yang melakukannya. Itulah sebabnya apabila kita menambahkan aktiviti membaca dalam jadual seharian dan sentiasa melakukannya, kita akan meningkatkan tahap disiplin dalam diri kita. Kita juga mungkin merasa tidak selesa jika tidak membaca pada satu-satu hari, itu bermakna tahap disiplin untuk membaca dalam diri kita sangat tinggi.


Kelebihan yang terakhir ialah dapat meningkatkan kreativiti dalam kotak fikiran. Jika kita seorang yang rajin membaca tentang kepelbagaian kehidupan, ini akan memberikan kita inspirasi kepada idea-idea yang baru. Dengan penambahan maklumat-maklumat yang lebih, membaca akan membantu memajukan bahagian kreatif dalam minda kita dimana membaca dapat menyerap pembaharuan kedalam proses pemikiran. Seterusnya kita akan lebih kreatif untuk melakukan sesuatu perkara yang baru dalam hidup kita.


Konklusinya, sikap membaca perlulah diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020. Jika tidak, kita akan jauh ketinggalan di belakang dan tidak mampu bersaing dengan negara-negara lain. Bak kata orang bijak pandai, “membaca jambatan ilmu”. 



diambil daripada : http://cikgu-rozali.blogspot.com

(UMI SYUHADA)