Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Orang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra’d, ayat 28)
Hakikatnya ketenteraman hati sentiasa menjadi dambaan setiap insan. Tatkala persoalan hidup bertambah kompleks dan beban masalah seharian yang meningkat dari sehari ke sehari, ketenteraman hati menjadi semakin jauh dan sulit pula untuk digapai dan diperoleh setiap insan yang mengharapkannya.
Kebanyakan manusia hari ini berorientasikan kebendaan dan kepentingan peribadi masing-masing. Bagaimana kompleksnya persoalan hidup yang melanda diri dan walau semakin berat masalah yang terpaksa ditanggung, apabila dihadapi dengan roh keimanan yang kental berserta amalan sentiasa mengingati Allah iaitu zikrullah, perwatakan, pergaulan dan ibadat, nescaya ketenteraman hati akan mewarnai keceriaan hidup sepanjang masa.
Jelas daripada pengertian ayat di atas terapi bagi orang beriman agar hati mereka menjadi tenang tenteram dan tidak pula gundah-gulana dalam melayari bahtera mengharungi gelombang hidup yang membadai dengan memperbanyakkan zikrullah. Dengan kata lain, zikrullah hendaklah sentiasa mengingati Allah ketika suka mahupun duka, di sudut hati atau benak fikiran, melalui lisan dan amal perbuatan.
Mengenai fadilat dan keistimewaan zikrullah, Allah memerintahkan setiap Muslim sentiasa berzikir kepada-Nya seperti firman-Nya dalam surah Al Ahzab, ayat 41-42 bermaksud:
“Wahai orang beriman (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya. Bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.”
Rasulullah tidak ketinggalan menggalakkan setiap Muslim merebut kesempatan hidup di dunia dengan memperbanyakkan zikrullah sebagai tiket memasuki taman syurga yang penuh kenikmatan.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Apabila kamu melewati taman syurga, hendaklah kamu ikut sama menikmatinya.” Sahabat bertanya: “Apakah itu taman syurga, wahai Rasulullah?” Ujar Baginda: “Ialah perhimpunan zikir.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Berdasarkan nas suci itu, dapat disimpulkan amalan zikrullah amat digalakkan dalam Islam. Selain itu, zikrullah dianggap antara amalan menyerlahkan kesempurnaan identiti seseorang Muslim yang bertakwa dan juga sebahagian ciri Ibadur Rahman yang sentiasa membasahkan lidah mereka dengan zikrullah dan doa yang tidak putus kepada Allah. Pendek kata, zikrullah petanda kepada bertakhta iman di hati dan juga bebasnya Muslim daripada belenggu sifat nifaq dan fasik yang tercela.
Read more: http://www.resepirahsiaku.com/2011/04/ketenteraman-hati-dengan-zikirullah.html#ixzz1SE2VnORw