Karangan Laporan

Karangan laporan Contoh soalan: Sekolah anda telah menganjurkan Kem Bimbingan Rakan Sebaya (BRS). Anda merupakan salah seorang peserta kem tersebut. Sekembalinya anda ke sekolah, guru penasihat Persatuan Bahasa Malaysia meminta anda menyediakan laporan tentang aktiviti kem tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya. Pendahuluan: tajuk laporan Cadangan isi: -menjelaskan tarikh aktiviti dan jumlah peserta -memaklumkan tentative aktiviti kem dijalankan -aktiviti yang telah dijalankan – rutin, ceramah, pertandingan dan lain-lain -menjelaskan manfaat yang diperoleh daripada aktiviti kem -aktiviti dapat meningkatkan keyakinan diri peserta Penutup: karangan mengikut format laporan Contoh karanganLaporan Kem Bimbingan Rakan Sebaya Sekolah Menengah Kebangsaan Tuan Hj. Sharuddin, Kuala Lumpur Satu kem Bimbingan Rakan Sebaya (BRS) telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Tuan Hj. Sharuddin di Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula dari 1 Mei 2009 hingga 3 Mei 2009. Kem ini disertai oleh 40 orang pelajar yang terdiri daripada wakil anggota persatuan yang terdapat di sekolah. Hanya terdapat empat orang peserta lain yang bukan merupakan ahli persatuan sekolah. Rombongan kami diiringi oleh empat orang guru, dua daripadanya ialah guru wanita. Cikgu Salmiah Jalil telah diamanahkan untuk mengetuai rombongan ini. Kami bertolak ke Tangkak dengan menaiki bas yang disewa khas pada pukul 12.30 tengah hari. Perjalanan yang mengambil masa selama tiga setengah jam itu dipenuhi dengan suasana gembira. Pada pukul 3.30 petang, kami tiba di Sekolah Menengah Agama Tun Othman yang menjadi tempat penginapan kami sepanjang kem itu berlangsung. Pada keesokan harinya, selepas bersarapan di kantin asrama dan membersihkan diri, kami seterusnya dibawa ke dewan besar sekolah. Di situ kami dibahagikan kepada lima buah kumpulan dengan diketuai oleh seorang ketua bagi setiap kumpulan. Taklimat awal untuk aktiviti sepanjang perkhemahan di kem itu diterangkan oleh Encik Karomi Shamsuddin, iaitu Pengurus besar syarikat motivasi tersebut. Tepat pada pukul 9.00 pagi, taklimat tentang undang-undang dan peraturan telah disampaikan oleh komanden kem, iaitu Encik shamsul Bahari bin Othman. Beliau telah menasihati semua pelajar agar mematuhi segala peraturan ketika berada di kawasan kem. Jika tidak, tindakan disiplin yang sewajarnya akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang ingkar atau didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Aktiviti perkhemahan dimulakan dengan pengisian ceramah tentang membina keyakinan diri, pengurusan masa, dan pengurusan diri. Ketiga-tiga aspek ini amat penting dalam latihan kami sebagai pembimbing rakan sebaya. Tanpa keyakinan diri serta kemahiran mengurus diri serta masa, sudah tentu kami tidak mampu membimbing rakan-rakan yang lain pula. Ceramah-ceramah ini telah dapat menyedarkan kami tentang kebolehan dan kemampuan kami sebagai insan yang mempunyai kekuatan diri yang unggul. Di samping itu, kami juga diajar tentang teknik berkomunikasi yang efektif ketika berhadapan dengan orang lain. Selama ini, kami hanya menganggap bahawa komunikasi merupakan penyampaian maklumat secara mudah antara manusia. Sebenarnya komunikasi yang efektif lebih dari itu. Untuk mencapai tahap komunikasi yang berkesan, seseorang perlu menghormati pihak yang menjadi medan bercakap serta menguasai kemahiran tertentu seperti gaya bertutur, kadar percakapan, kesabaran diri, dan kejelasan sebutan. Penampilan diri seperti ini merupakan dapatan baru yang sukar ditemui di tempat-tempat lain. Pada hari berikutnya, aktiviti yang menjadi pengisian ialah aktiviti latihan dalam kelompok, peneroka kendiri, dan asas kaunseling. Penekanan kepada asas-asas berkaunseling merupakan komponen penting untuk menjadi seorang pembimbing yang berjaya dan disegani. Pada sebelah petangnya pula, kami dibawa untuk menjalani aktiviti merempuh halangan yang bertujuan untuk menguji ketahanan fizikal dan mental. Cabaran bermain dengan sungai dan pendakian bukit yang curam benar-banr menguji semangat setia kawan dan kerjasama. Kesan daripada aktiviti lasak itu, maka sedarlah kami bahawa kekuatan fizikal kami begitu terbatas. Hal ini berpunca daripada kekurangan latihan jasmani dan senaman dalam kalangan anggota kami sendiri. Kini, kami sedar bahawa untuk menjadi pelajar yang berjaya, kesihatan adalah amat penting., bak kata pepatah Melayu, otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat. Begitupun, kami tetap bersyukur kerana dapat melakukan semua aktiviti lasak itu dengan sempurna meskipun lambat. Pada malam terakhir di Kem Wawasan Gunung Ledang, acara kemuncak pada malam kedua ialah persembahan kebudayaan. Pelbagai telatah dan ragam yang menghiburkan dipersembahkan oleh ahli kumpulan. Perasaan gembira tergambar jelas pada wajah setiap peserta. Sedikit pun tidak kami sangka bahawa ramai antara kami mempunyai bakat berlakon, menyanyi, dan menari. Malam itu merupakan malam untuk kami melepaskan tekanan setelah dua hari dikerah tenaga dan mental. Sebelum pulang, iaitu pada hari terakhir di kem tersebut, kami telah diberi penjelasan tentang tujuan, matlamat dan kesan positif daripada aktiviti yang telah dijalankan. Hadiah-hadiah istimewa telah disampaikan kepada kumpulan yang menang dalam aktiviti yang dipertandingkan. Dalam masa yang sama, pihak penganjur turut membuat penilaian dan komen aktiviti oleh para peserta kem. Kesimpulannya, sepanjang aktiviti di Kem Wawasan Gunung Ledang itu, pihak kami amat berpuas hati terhadap aktiviti yang dijalankan. Kerjasama daripada semua pihak termasuk fasilitator dan kem komandan benar-benar berjaya menyedarkan dan meningkatkan keyakinan diri kami. Disediakan oleh, 2 JUN 2009 Shakirah shamsudin (SHAKIRAH SHAMSUDIN) Peserta Kem BRS, Sekolah Menengah Tuan Hj Sharuddin Kuala Lumpur.