Bulan Membaca

Bulan Membaca
Assalamualaikum, selamat pagi dan selamat sejahtera kepada Yang dihormati Tuan Pengetua, Guru-Guru Penolong Kanan, guru serta pelajar semua. Saya berterima kasih kerana diberi kepercayaan berucap mewakili pelajar sempena Majlis Pelancaran Bulan Membaca Peringkat Sekolah hari ini.


Kempen ini sebagai susulan kepada Kempen Bulan Membaca peringkat nasional anjuran Perpustakaan Negara Malaysia. Tujuannya ialah memupuk minat membaca di kalangan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan pelajar.


Kami sedar bahawa buku itu pelita hati. Ilmu terkandung di dalamnya menjadi penyuluh kehidupan sekali gus menjadikan kita manusia bermaklumat. Fikiran menjadi cerdas, idea menjadi bernas dan kehidupan menjadi ceria.


Tabiat membaca perlu dipupuk ketika masih kecil. Masa terluang hendaklah diguna dengan membaca bahan berfaedah. Ibu bapa perlu mewujudkan perpustakaan kecil di sudut rumah sebagai rangsangan kepada anak hendak membaca. Peruntukan bulanan hendaklah disediakan untuk melengkapi perpustakaan ini.


Sebagai pelajar, kita perlu menggunakan masa terluang pergi ke perpustakaan baik di sekolah mahupun perpustakaan awam. Pilihlah judul berfaedah dan terbaru untuk menambah ilmu serta melengkapi diri dengan maklumat terbaru.


Pelajar juga hendaklah mengambil kesempatan daripada pelbagai anugerah yang ditawarkan kerana giat membaca. Contohnya Anugerah Nilam kepada pelajar yang paling banyak membaca dalam satu-satu tahun.


Akhirnya saya suka menasihati diri saya dan rakan semua agar mendampingi buku sepanjang masa. Beginilah caranya kita menjayakan 'Bulan Membaca', yang sudah tentu memerlukan sokongan semua pihak. Sekian dan terima kasih.