SYARAHAN - Peranan Komputer dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengetua, barisan hakim yang bijaksana, guru - guru dan rakan sekalian. Pada pagi yang mulia ini saya akan bersyarah tentang peranan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

     Hadirin yang saya muliakan sekalian,
     Komputer merupakan alat ciptaan manusia moden yang istimewa. Pada masa ini, komputer digunakan dalam apa jua bidang pekerjaan sekalipun di peringkat antarabangsa. Komputer juga memainkan peranan yang amat penting dalam bidang pendidikan.

     Penggunaan komputer sememangnya dapat memudahkan proses pengajaran guru dan pembelajaran pelajar. Guru dapat menggunakan komputer untuk menarik minat pelajar dalam menyampaikan pelajarannya. Pertama, terdapat bermacam - macam program pengajaran yang berlainan boleh dilakukan melalui penggunaan komputer. Kedua, pelajar tidak perlu berkurung di dalam bilik darjah sepanjang hari. Suasana pembelajaran yang sedemikian akan membantu guru dalam menyampaikan pelajarannya dengan lebih efektif.

     Sidang hadirin yang saya muliakan,
     Kemudahan Internet memerlukan komputer. Dengan adanya perkhidmatan Internet, proses perolehan maklumat yang pelbagai dan terkini dapat dilakukan dalam sekerdip mata sahaja. Dengan kemudahan Internet ini, pelajar dapat berkongsi maklumat dengan rakan - rakan di serata dunia. Proses yang sedemikian pasti akan meningkatkan prestasi pelajar dalam pelajarannya.

     Sidang hadirin yang saya muliakan,
     Komputer juga dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu tajuk pelajaran yang sukar dofahami. Menerusi aplikasi program yang mudah dan menarik, sesuatu topik mata pelajaran yang sukar dapat difahami oleh pelajar yang lemah tentangnya. Sebabnya, penggunaan komputer dalam pengajaran akan memberikan pelajar gambaran yang jelas tentang sesuatu subjek yang dipelajari di sekolah.

     Dengan hujah - hujah ini, maka jelaslah bahawa komputer sememangnya memainkan peranan yang besar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini sesuai dengan sumbangan kemajuan teknologi manusia yang dicapai dari semasa ke semasa.
     Sekian, terima kasih...