"Genggam bara api biar sampai jadi arang" bermaksud membuat pekerjaan dengan susah, hendaklah sabar sehingga mencapai kejayaan. Peribahasa ini bertentangan dengan satu lagi peribahasa berbunyi hangat - hangat tahi ayam. Peribahasa ini merupakan satu nasihat yang amat baik untuk mereka yang ingin mencapai kejayaan dalam hidupnya.
Salah satu contoh dalam hidup kita yang perlukan nasihat yang sedemikian ialah semasa menerima pendidikan di sekolah. Tidak kira sama ada kita berada di sekolah rendah , di sekolah menengah atau di universiti. Apabila didapati ada mata pelajaran yang susah, kita haruslah bersabar dan terus berusaha sehingga mata pelajaran yang pada mulanya susah itu kita fahami akhirnya.
Aku masih ingat lagi, Radin, iaitu rakan sekelasku semasa kami berada di tahun 6 beberapa tahun yang lalu. Pada awal tahun, dia tidak pernah lulus dalam semua ujian matematiknya. namun demikian, dia sering mengingatkan dirinya supaya bersabar. Langkah yang seterusnya, dia telah memperuntukkan masa selama sejam sehari untuk membuat ulangkaji matematik sahaja. Di samping selalu bertanyakan guru matematiknya, Radin sering berbincang denganku soalan - soalan yang tidak difahaminya.
Sifat sabar dan rajin berusaha Radin telah membuahkan hasil pada akhirnya. Dalam peperiksaan PMR pada tahun yang sama, dia telah memperolehi gred A dalam matematik. Kisah benar Radin ini membuktikan dalam hidup ini kita harus mengamalkan semangat genggam bara api biar sampai jadi arang.