Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pemandangan yang indah. Hutan belantara yang hijau, lautan nan biru dan sungai - sungai yang mengalirkan air yang jernih. Malang sekali, satu daripada " wajah" pemandangan yang indah ini, iaitu sungai menjadi hodoh akibat perbuatan segelintir anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Menurut laporan yang sering disiarkan melalui akhbar - akhbar tempatan, banyak sungai di seluruh negara mula mengalami masalah pencemaran yang agak serius. Terdapat penduduk di tebing sungai yang membuang sampah sarap ke dalam sungai setiap hari. Perbuatan ini menyebabkan bekas - bekas plastik, bahan buangan yang diperbuat daripada getah yang banyak lagi di permukaan sungai. Gambaran yang sedemikian memang jijik dipandang, bukan?
Kilang - kilang perindustrian yang tidak bertanggungjawab turut membuang sisa toksik kilang ke dalam sungai. Semua ini disebabkan mereka mahu menjimatkan kos untuk melepaskan bahan buangan kilang yang tidak berguna. Perbuatan mereka ini serupa juga dengan membuang racun ke dalam sungai.
Akibatnya, beberapa batang sungai di negara kita mula berubah "wajahnya". Air sungai yang jernih satu ketika dahulu mula menjadi keruh. Bau busuk dapat dihidu oleh manusia dari tebing sungai. Lebih buruk lagi, bangkai ikan dan hidupan sungai yang lain adakalanya kelihatan terapung - apung di permukaan sungai.
Sehingga kini, pihak berkuasa sudah mengambil beberapa langkah positif untuk mencegah sungai - sungai diseluruh negara daripada dimusnahkan dengan begitu saja. Papan - papan tanda peringatan dicatat slogan "sayangilah sungai kita " banyak dipasang di tebing sungai.
Tindakkan kerajaan itu tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua anggota masyarakat. Ingat, manusia masih bergantung kepada air sungai sebagai sumber minuman sehariannnya. Jadi, mulai dari hari ini slogan " sayangilah sungai kita " harus dipupuk kepada setiap orang sebelum nasi menjadi bubur.