BERITA - Deretan rumah mengalami kebakaran

PASIR GUDANG, 1 Ogos - Kerugian dianggarkan kira - kira RM1 juta dalam satu kebakaran yang memusnahkan sederat rumah sewa di Kampung Gelam, lewat malam semalam. Namun, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

     Dalam kebakaran itu, mangsa - mangsa yang terlibat dikatakan sedang nyenyak tidur. Kebakaran itu hanya disedari oleh salah seorang penduduk kampung yang baru pulang dari tempat kerja. Ketika itu, kebakaran baru bermula di dinding bilik rumah yang terletak di bahagian hujung deretan rumah papan itu. Penghuni rumah itu tiada di rumah kerana keluar menonton wayang..

     Setelah dikejutkan, mangsa - mangsa bergegas keluar menyelamatkan diri serta harta benda yang sempat mereka bawa. Penduduk kampung bersama - sama berusaha memadamkan kebakaran. Malangnya, tekanan air yang rendah dan ketiadaan pili bomba menghalang usaha mereka.

     Pihak bomba yang dihubungi hanya tiba di kawasan setengah jam kemudian. Pada ketika itu hampir keseluruhan deretan rumah itu telah musnah dijilat api. Antara barangan yang dapat diselamatkan ialah peti televisyen, pakaian serta dokumen- dokumen penting. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

     Hasil siasatan awal menunjukkan kebakaran tersebut berpunca daripada nyalaan ubat nyamuk yang telah membakar kelambu bilik tidur rumah setelah penghuninya keluar pada malam tersebut. Pihak polis telah bertindak dengan menahan penghuni rumah tersebut untuk disoal siasat.

     Buat sementara ini, mangsa kebakaran ditempatkan di Dewan Masyarakat Seri Mahkota Bantuan berupa makanan, pakaian, dan buku sekolah telah diserahkan kepada lapan keluarga yang malang itu oleh Wakil Rakyat Bahagian Pasir Gudang, Datuk Aziz Roslan. Beliau berjanji akan memastikan rumah mangsa - mangsa itu akan dibina dengan secepat mungkin agar mereka semua dapat menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak berapa lama lagi. "Kami akan berusaha mendapatkan bantuan sebanyak mungkin bagi meringankan beban mereka yang terlibat," tambah beliau lagi.....